Kali ini admin nk share satu isu yang admin rasa sangat menarik dan perlu dikongsikan bersama terutamanya golongan muda yang bakal menjadi peneraju negara kelak.
So, sebelum admin share isu ni, admin ingin jelaskan segala info yang bakal dikongsikan selepas ini semuanya diambil daripada www.majalahniaga.com. Jadi, semua kredit harus diberikan kepada mereka ini kerana mereka ini lah yang bertungkus lumus menyediakan info-info ini. Admin sekadar berkongsi kepada para pembaca semua.hehe :)
Cabaran Besar Menjalankan Bisnes Pada Usia Muda
Menurut laporan daripada Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), hanya 2.4% graduan yang memilih untuk menjadi usahawan selepas keluar dari universiti. Majoriti yang memilih untuk menjadikan usahawan sebagai satu kerjaya ialah mereka yang belajar selok belok bisnes dan mengusahakannya sejak di bangku universiti.Apabila tamat belajar, bisnes mereka sudah dapat memberikan pulangan lumayan menyebabkan mereka tidak berminat untuk bekerja makan gaji. Lazimnya, pendapatan bulanan mereka lebih tinggi daripada jumlah gaji biasa yang ditawarkan kepada graduan baru.
Semasa dijemput memberikan ceramah di salah sebuah IPTA, Tim Majalah Niaga pernah diajukan soalan daripada salah seorang pelajar, ” Tuan, jika semua mahu berniaga, siapa pula yang mahu makan gaji?”
Sebenarnya, apabila melihat peratusan graduan baru menjadi usahawan hanya 2.4%, kita sudah dapat mengetahui ‘planet’ mana yang masih luas untuk diceburi dan ‘planet’ mana yang sudah hampir tepu untuk dimasuki. Hampir 98% memilih untuk makan gaji. Ini bermakna, berlaku lambakan serius di ‘planet makan gaji’ menyebabkan pasaran kerja tidak dapat menampung semua golongan pencari kerja.
Ini dibuktikan dengan laporan daripada Kementerian Sumber Manusia yang mencatatkan jumlah pengangguran sebanyak 411, 400 orang sehingga Ogos 2013.
Soalan sebenar yang sepatutnya ditanya ialah, ” Jika hampir 98% memilih untuk makan gaji, siapa pula mahu berniaga?” Soalan ini lebih wajar kerana apabila peratusan itu lebih seimbang, isu pengangguran dapat dikurangkan. Lebih tinggi peratusan menjadi usahawan, lebih banyak peluang pekerjaan dapat ditawarkan.
Namun, memulakan bisnes sendiri di usia muda tambahan pula ketika masih menuntut di universiti tidak semudah yang disangka. Pengalaman Tim Majalah Niaga terlibat dengan program keusahawanan IPTA dan IPTS seluruh negara membolehkan kami menghuraikan isu pelajar memulakan bisnes. Antara soalan yang kerap ditanya mereka ialah…
“Apakah langkah awal yang patut dilakukan untuk memulakan bisnes dengan keadaan kami kekurangan modal?”
Soalan ini ialah soalan paling popular. Kami membuat kesimpulan, majoriti golongan muda di IPTA yang ingin memulakan bisnes sendiri terbahagi kepada dua kategori.
Kategori A: Memiliki kemahiran teknikal. Contohnya juru foto, pereka laman web, pereka grafik, melukis kartun atau baik pulih komputer alatan elektronik.
Kategori B: Tidak memiliki kemahiran teknikal. Majoriti berada di dalam kategori ini.
Penyelesaian Isu Kekurangan Modal
Kedua-dua kategori ini mempunyai isu yang sama – tidak ada modal mencukupi untuk kos pemasaran.Apakah solusi untuk mengatasi isu ini?
Solusi untuk golongan kategori A:
Cari 5 hingga 10 orang bakal pelanggan dan tawarkan servis percuma kepada mereka. Usahakan untuk beri servis terbaik. Apabila -pelanggan-pelanggan awal ini berpuas hati, mereka akan berfungsi sebagai ejen tidak rasmi yang akan mempromosikan servis anda. Bermula dari situ, pelanggan semakin bertambah dan duit poket kita menebal sedikit demi sedikit.
Solusi untuk golongan kategori B:
Apabila tidak mempunyai kemahiran teknikal, diri sendiri boleh menjadi orang tengah mempromosi servis yang ditawarkan oleh golongan kategori A tadi. Contohnya, kos untuk satu tugasan fotografi ialah RM 500. Promosikan dengan harga RM 600 dan lebihan RM 100 sebagai komisen. Selain itu, anda juga boleh menjadi orang tengah dengan cara menjadi ejen menjual produk fizikal seperti pakaian lelaki, busana muslimah, tudung, produk kecantikan, kerepek, aksesori lelaki dan wanita dan lain-lain.
Apabila ada sedikit keuntungan, laburkan balik untuk belajar ilmu-ilmu pengurusan bisnes, pemasaran dan jualan. Contohnya anda boleh sertai seminar-seminar yang dianjurkan oleh pakar-pakar bisnes dan pemasaran. Selain itu, anda juga disaran untuk membeli buku, e-book, DVD berkaitan perniagaan dan pemasaran.
Utamakan strategi pemasaran melalui Internet berbanding pemasaran konvensional kerana ia lebih menjimatkan kos dan iklan lebih mudah untuk sampai kepada sasaran pelanggan yang lebih spesifik.
Ilmu dan skil yang dipelajari boleh terus dipraktiskan untuk mengembangkan bisnes sedia ada.
Dari Bilik Tidur Kepada Pejabat Kecil
Kebanyakan pelajar IPTA yang menjadi usahawan berjaya mula berkembang menerusi cara ini. Dalam masa 2 hingga 3 tahun, bisnes mereka sudah semakin stabil. Sekurang-kurangnya mampu memberikan pendapatan 4 angka kepada mereka setiap bulan.Apabila sampai ke tahap ini, jangan cepat berpuas hati. Keinginan membuak-membuak untuk memiliki kereta mewah, gajet canggih atau membeli pakej pelancongan eksklusif ke luar negara harus ditangguhkan terlebih dahulu. Sebaiknya, usaha untuk kembangkan lagi bisnes tersebut. Kekuatan untuk menangguh kepuasan adalah cabaran paling besar kepada pengusaha bisnes muda yang mula berjinak-jinak dengan duit banyak.
Usaha seterusnya ialah dengan mengubah daripada bisnes keseorangan, menjadi sebuah organisasi kecil dengan cara memilih individu sesuai untuk dijadikan rakan kongsi. Selepas memilih rakan kongsi, usahakan pula untuk belajar mengagihkan kerja kepada staf supaya tidak lagi menghabiskan masa membuat kerja-kerja teknikal. Bisnes boleh berkembang dengan pantas apabila operasi bisnes itu tidak lagi diuruskan secara ‘one man show.’
Daripada ulasan kami di atas, golongan muda terutamanya yang masih menuntut di IPTA boleh belajar bagaimana membina bisnes kecil-kecilan sehingga sedikit demi sedikit menjadi besar. Daripada beroperasi di bilik tidur, ia berkembang menjadi satu organisasi kecil yang memiliki staf dan pejabat. Selamat berusaha!
No comments:
Post a Comment